Kisah sedih si gajah di hukum gantung kerana membunuh


 Pada tahun 1916, di tengah populariti sarkas di Amerika Syarikat, satu tragedi yang menyayat hati berlaku bukan pada manusia, tapi pada seekor gajah betina bernama Mary. Mary merupakan bintang utama dalam Sparks World Famous Shows, dan kisahnya berakhir dengan cara yang sangat tragis digantung hidup-hidup di bandar kecil Erwin, Tennessee.

Semuanya bermula di Kingsport, Tennessee, semasa satu persembahan sarkas. Mary tiba-tiba berhenti semasa berarak, mungkin sebab letih atau lapar. Dia ternampak sebiji tembikai dan cuba ambil, tapi jurulatih barunya, Walter Eldridge, yang langsung tiada pengalaman dengan gajah, bertindak kasar mencangkuk telinga Mary dengan tongkat tajam.

Mary, dalam keadaan sakit dan tertekan, bertindak balas. Dia membelit Eldridge dengan belalainya dan memijak kepala lelaki itu sehingga mati. Penonton panik, jerit ketakutan, dan seorang pekerja keselamatan mula menembak Mary tapi peluru seolah-olah tak memberi kesan. Mary berdiri diam, tenang, seolah-olah dia tahu… dia sudah tiada jalan keluar.

Pemilik sarkas, Charlie Sparks, khuatir kejadian ini akan merosakkan imej pertunjukan mereka. Maka, keputusan kejam pun dibuat Mary dijatuhi hukuman mati, dan perlaksanaannya bakal dilakukan secara terbuka. Tempat yang dipilih? Erwin, Tennessee, sebuah bandar kereta api yang memiliki kren besar untuk “menyelesaikan” urusan ini.

Pada 13 September 1916, lebih 2,500 orang termasuk kanak-kanak berkumpul di halaman kereta api Clinchfield Railroad untuk menyaksikan hukuman tersebut. Mary diangkut ke sana bersama empat gajah lain, yang menurut satu-satu dalam diam, memegang ekor sesama sendiri seolah-olah tahu yang mereka bakal saksikan kematian salah satu daripada mereka.

Rantai dipasang di leher Mary, dan bila kren diangkat, bunyi tulang retak dan sendi koyak kedengaran. Namun rantai pertama putus, dan Mary jatuh ke tanah, separuh nyawa. Tapi mereka tidak berhenti di situ. Kali kedua, dengan rantai lebih kuat, Mary diangkat sekali lagi, tubuhnya tergantung di udara, menggeliat dalam kesakitan. Jeritannya lebih kuat dari sorakan orang di bawah. Setelah 30 minit tergantung, doktor haiwan akhirnya mengesahkan  Mary sudah mati.

Mary bukan pembunuh. Dia cuma makhluk yang terlalu lama disakiti. Hukuman itu bukan keadilan ia adalah cerminan kejamnya manusia bila kuasa lebih penting daripada rasa belas.

Comments